! Ohh Ye Ke !
Maklumat Terkini :
Home » » Filem Minggu Ini Pacific Rim Robot vs Raksasa

Filem Minggu Ini Pacific Rim Robot vs Raksasa

Written By Unknown on Sunday 14 July 2013 | 10:47

Secara dasarnya, filem ini diklasifikasikan karya aksi gred B; ada robot gergasi, ada raksasa, watak protagonis yang mempunyai elemen kejutan serta jenaka yang menjadi, namun tetap mencapai piawaian filem cereka sains berbajet besar. 

Plot penceritaan juga sama seperti menonton filem Evangelion atau Code Geass mahupun Transformers, cuma tidak membabitkan elemen terlalu panjang. 



Seperti juga cerita Godzilla ciptaan Jepun atau raksasa dalam drama bersiri Ultraman, Pacific Rim cuba memberi cetusan rasa serupa melalui babak tertentu yang boleh dianggap cedukan daripada 1,001 cerita raksasa menyerang manusia.

Pun begitu, robot gergasi ciptaan manusia yang dipanggil Jaeger ini mungkin diibaratkan ‘saingan’ kepada filem robot manusia Iron Man kerana nyata tidak ada filem genre serupa (robot ciptaan manusia) selepas Iron Man 3.


Menariknya, pengarah Guillermo del Toro berupaya menyampaikan mesej peperangan skala besar yang menjadi tarikan utama Pasific Rim, di samping lagu runut bunyinya yang jauh lebih baik daripada skor muzik Man Of Steel.



Cuma dari segi permainan drama antara pengendali Jaeger kurang beri kesan maksimum. Tidak ada kepercayaan khusus diwujudkan antara pengendali Jaeger dengan Jaeger. Hubungan kepercayaan antara manusia dan robot mungkin menarik jika dikembangkan lagi. 



Dari sudut lain, de Toro setakat ini dilihat bermain dengan cara tersendiri, yakni selain menonjolkan kemusnahan besar-besaran dari segi lokasi dan objek, tidak terlalu bermain dengan emosi kematian manusia sejagat, sekali gus sudut drama dikurangkan.


Hasilnya, karakter ciptaan de Toro dilihat lurus, ‘ikut buku’ dan dialog yang tidak terlalu berat dengan isu mendalam.


Walaupun kurang dari segi ‘drama manusia’, dia berjaya mengatasi kelemahan itu melalui barisan pelakon yang bijak membawa karakter masing-masing. Setiap karakter saling menyokong antara satu sama lain.


Visual filem ini patut diberi pujian kerana ia seolah-olah dibuat khas untuk tayangan di IMAX 3D, sama seperti menonton visual untuk filem Iron Man 3. Koreografi berlawan antara Jaeger dan raksasa, sinematografi layar juga berjaya dirakam dengan hampir sempurna.


Namun secara keseluruhan, Pasific Rim bukan filem yang menekankan karakter, tetapi lebih kepada aksi berlawan robot dan raksasa yang menjadi kegilaan kanak-kanak sedari dulu. 

 

INFO:


FILEM: Pacific Rim
ARAHAN: Guillermo del Toro
PELAKON: Idris Elba, Charlie Hunnam, Rinko Kikuchi, Charlie Day dan Ron Perlman
GENRE: Fiksyen sains
TAYANGAN: 11 Julai 2013
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari
Share this post :

Post a Comment

ohhyeke.blogspot.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.



 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2013. Ohh Ye Ke - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger